Bicara Hati:Tergopoh-Gopoh

Friday, August 21, 2009

Photobucket

Semalam, kekorupan cakera keras(hard disk) aku, membuatkan aku menjadi keluh kesah, tidak tentu arah, memikirkan betapa banyaknya barang-barang yang segalanya bagi aku amat penting untuk blog aku ini. Bukan juga sekadar untuk blog ini sahaja, kerja-kerja mikroprosessor, elektronik, entrepreneur, video-video, lagu-lagu, gambar-gambar, hampir semuanya bersaiz 50 gigabait hilang gara-gara ‘technical difficulties’ yang tereka cipta oleh diri aku sendiri yang terlampau mengikut kehendak hati tambahan pula otak aku sudah sememangnya agak lembab dalam perkara-perkara pembaikkan computer. Dengan perasaan keluh kesah dan tidak tentu arah itu, secara tiba-tiba diri ini menjadi sungguh berang, radang dan melenting, badan berpeluh sampai terasa haba-haba sedang bergolak di sekeliling telinga dan di dada, sehingga menjelikkan rakan-rakan di sekeliling aku. Apa tidaknya, hampir semua garapan-garapan aku yang masih tidak aku masukkan dalam blog ini lagi, semuanya hilang atas alasan kesilapan bodoh diri sendiri. Bagaimana hendak aku mendapatkan semula? Ah, kalau aku hendak mengingat semua apa yang sudah aku garap, daya ingat aku ini sudah tidak tersusun rapi, tidak cukup kuat lagi, usia sudah meningkat, adalah saraf-saraf yang semakin tidak cukup di otak, silap-silap hari bulan, tabiat tersenyum dan bercakap seorang datang, tidak ke gila namanya.

Ketika proses gelombang keberangan sedang hampir mencapai tahap kronik, tiba-tiba sahaja gelombang ketenangan datang dari hujung kaki sampai ke hujung kepala. Perlahan-perlahan menghempas gelombang keberangan yang tidak tentu arah tadi. Mencetuskan suasana yang agak terpinggir dan sunyi, hati pula terasa terhuyung hayang longlai dalam gelombang ketenangan, otak pula mulai timbul keluar dari dasar gelombang keberangan, menghampiri persisiran untuk mendampar bersama hati, lari dari kegolakkan gelombang yang tidak diperlukan. Ahh..ini sebenarnya masalah aku. Masalah aku adalah jiwa remaja ini, yang selalu tergopoh gopoh, dalam membuat segala benda sehingga menyusahkan diri sendiri. Paling elokknya, kalau aku ingin menghasilkan sesuatu yang hasilnya lebih baik dari sebelumnya, sifat tergopoh-gopoh ini harus aku campak ke longkang. Kalau tidak, sifat ini akan terus mendapatkan hasil yang busuk seperti kekorupan cakera keras aku, kerana tergopoh-gopoh hendak menggunakan computer. Aku fikir semua remaja memang ada sifat tergopoh-gopoh ini.

Kita ini remaja, lihatlah. Dari semua aspek kita tergopoh-gopoh. Ambil contoh, aspek cinta. Semuanya tergopoh-gopoh, tidak kira yang lelaki atau perempuan, sama sahaja. Hendak cepat sahaja mencapai objektifnya. Hendak pegang ini, pegang itu, cium ini cium itu dah akhirnya mulalah ‘bersawah ladang’ dalam kereta, hotel-hotel murah, rumah-rumah sewa, hutan ladang, dan kadang-kadang sampai terkeluar pula anak tanpa bapa. Bila sudah kalut, lagi sekali sifat tergopoh-gopoh penyelesai masalah. Buang bayi, bunuh diri, semunya berpangkal dari sifat ini. Aku pun sama sahaja, sesekali aku membaca semula cerpen-cerpen yang sudah aku siapkan, banyaknya terasa garapan aku ini tidak sehebat mana. Cepat dan kelam kabut, objektifnya selapis sahaja, cara membuatnya melalui struktur dan kaedah sama sahaja, tiada impak yang berkesan kepada pembaca, seolah-olah terlalu obses untuk menyampaikan perutusan tanpa lapisan-lapisan yang perlu membuat pembaca berfikir. Terasa ingin mencampak sejauh-jauhnya cerpen-cerpen itu. Menjadi-jadi pula sifat tergopoh-gopoh ini. Bagus juga cakera keras aku korup, biarkan aku menggarap hasil yang lebih baik dan bermutu. Sekarang baru aku sedar, garapan aku perlu menghadapi payah terlebih dahulu sebelum boleh aku menikmati kesannya yang mendalam, dan kemudiannya barulah di masukkan ke dalam blog ini. Biarlah ruang untuk cerpen aku tutupkan untuk sementara waktu. Tidak perlu lagi tergopoh-gopoh, kerana kelak diri sendiri teroboh, baru padan muka.