Bilik Serba Rahsia Bahagian 3

Sunday, November 23, 2008


Ketika aku sedang mengosongkan fikiran supaya aku senang untuk tidur, terdengar bunyi tapak kaki perlahan-perlahan menuju ke dorm kami. Aku mula panik, dan mula terbayang pontianak, nenek kebayan, penanggal yang pada aku masih menjadi igauan buruk penghuni asrama SMKAP. Kemudian, tapak kaki tersebut semakin dekat bunyinya, dan menghala ke Bilik Serba-Rahsia, seolah tahu kami berada disitu. Angin pagi berdesir dari lubang angin semakin kuat, segera aku menarik selimut di badan ku ke kepala ku, dan menutup telinga ku, walaupun bunyi tapak kaki tersebut masih kedengaran. Nafas ku, ku sedut perlahan-lahan kerana tidak mahu mengeluarkan sebarang bunyi, takut di kesan bunyi misteri itu. Tiba-tiba bunyi tapak kaki itu berhenti, dan seperti ia berhenti dekat dengan Bilik Serba-Rahsia kami. Aku membuka semula selimut di kepala ku, dan tiba-tiba perasaan takut tersebut bertukar menjadi perasaan ingin tahu. Aku terus mendengar, dan sambil mengintai di ruang bawah pintu itu. Selepas 5 minit, tiada sebarang bunyi kedengaran lagi dan tiada sebarang bayangan ternampak dari ruang bawah pintu itu. Aku menarik nafas sedikit lega sambil aku menyarung selimut ke badan ku semula. Sambil memandang ke arah Edan Berang dan Mishad Jepun yang sedang lena, aku fikir mungkin bunyi tadi bunyi tapak kaki kucing putih gergasi yang Pok Nek Cleaner bela, atau saki baki penghuni asrama yang tidak balik ke kampung pergi membasuh baju. Aku cuba menyenangkan hati aku dengan kenyataan sendiri, walaupun tidak masuk akal. Yang penting, aku mahu melelapkan mata segera. BAAMMM!!!bunyi hentaman yang amat kuat terhadap pintu Bilik Serba-Rahsia itu secara tiba-tiba. Aku terkejut hampir terkencing dibuatnya, dan Mishad Jepun terjaga, Edan Berang masih lena, sedikit pun tidak terusik. Mishad Jepun memandang aku kebingungan dengan mata kuyunya sambil mengesat saki baki air liur basi yang masih mengalir di bawah mulutnya. Hentaman itu semakin kuat,dan semakin diulang-ulang. Argghhh..apakah bala yang bakal datang kali ini? Pontianak? Nenek kebayan? Makhluk misteri dewan? Penanggal?Bermacam-macam soalan terlintas di fikiran aku, yang paling mempersoalkan ialah kisah Solah Warak terjumpa gadis berambut panjang sampai ke lutut, berbaju bputih di dalam bilik sebegini di dorm tingkat atas. Adakah bilik ini tempatnya juga? Ahhh…Pintu Bilik Serba-Rahsia bagai hendak roboh menerima hentaman yang makin kuat itu. Jantung ku semakin bergetar kuat, peluh jantan mula timbul di dahi ku, angin pagi makin kuat berdesir di lubang angina, Mishad Jepun merenung tepat pintu Bilik Serba-Rahsia itu, nafasnya di tarik dalam-dalam, kemudian tangannya menggosok peluh di lehernya, terlihat alunan perutnya yang agak buncit akibat frekuensi kelajuan nafas yang ditarik dalam serta takungan penuh nikotin rokok yang tersepit di paru-paru. Bulu roma ku mula berdiri, dan terasa seram sejuk yang amat di belakang badan dan tengkuk ku. Air peluh jantan mula mengalir di dada ku, dan mula bertakung di celah pelipat-pelipat di keliling perut ku. Kami masih berselindung di sebalik Bilik Serba-Rahsia itu. Mishad Jepun mengalih pandangannya pada ku, dengan mata kuyu jepunnya sudah menjadi bulat dan segar, kepalanya bergerak perlahan seolah-olah memberi isyarat menyuruh aku membuka pintu bilik itu. Seperti akur dengan isyarat Mishad Jepun, dengan takutnya diri aku berdiri di depan pintu. Sambil menerima bunyi hentaman kuat itu, darah ku semakin berderau, aku kemudiannya memegang tombol pintu dengan erat dan bersedia untuk membukanya, sambil memandang bibir Mishad Jepun yang terkumat-kamit membaca ayat pelindung. Kelihatan Edan Berang sudah tersedar dari tidur dan segera menyelimutkan badan dan kepalanya yang terketar-ketar kerana ketakutan. Aku pula, dengan takutnya membuka perlahan-lahan tombol pintu itu dan terasa tekanan yang agak kuat dari luar. Setelah pintu itu ku buka, sambil memandang ke bawah, aku perasan satu lembaga memakai baju kuning belang-belang, yang aku tak sanggup melihatnya secara terus akibat ketakutan yang datang tanpa di duga.“hah!!kamu bertiga, keluar sekarang”. Aku terkejut besar mendengar suara itu, dan terus aku mendongak siapa yang berada di depan ku itu.arhh…Argghhhh.. aku kenal sangat dengan orang ini. Aku memandang mukanya, sambil ketakutan aku semakin bertambah.Cikgu Sufri Sports!!

Aku tersentak, perasaan yang amat takut menyelubungi aku, lebih takut dari perasaan terbayangkan hantu-hantu yang tiba-tiba mengejut hilang di fikiran aku sebentar tadi. Apa yang aku fikirkan sekarang, hanyalah Cikgu Sufri Sports yang aku rasa lebih menakutkan dari hantu-hantu itu. Cikgu Sufri Sports yang mampu memadam masa depan aku di sekolah ini, yang selama ini mahu membuang aku dari sekolah ini. “Kamu bertiga, berkumpul di surau sekarang!!” herdikan yang amat keras ke atas muka aku, terasa juga titisan kecil air liur yang tersembur bersama herdikan itu, membuatkan aku segera bangun tanpa menjawab dan mengenakan baju. Ketika sedang pantas aku memakai baju, sempat aku mengerling dengan ekor mata melihat Cikgu Sufri Sports yang sambil menggelengkan kepala, melihat sekeliling Bilik Serba-Rahsia. Kemudian aku, Edan Berang dan Mishad Jepun bergegas ke surau berdekatan asrama puteri, dan kelihatan saki-baki penghuni asrama selesai solat Subuh. “Ahh…sudah hampir habis subuh kita lalai dalam bilik itu” hati ku berkata-kata, sambil perasaan ku masih bingung berbaur takut jika Cikgu Sufri Sports menjumpai ‘benda’ itu di dalam Bilik Serba-Rahsia. Kami langsung tidak menyorok ‘benda’ itu, kerana tidak menduga Cikgu Sufri Sports akan datang ke bilik itu. Tanpa sedikit suara dan kata-kata keluar dari mulut masing-masing, kami ambil wuduk, dan terus menunaikan solat Subuh. Selepas selesai solat Subuh, barulah kedengaran keluhan yang panjang keluar dari mulut Mishad Jepun yang sudah terbaring di tengah surau sambil memandang ke atas, dan ku rasa keluhan itu keluhan yang amat menyakitkan. “kantoi.kantoi!!” keluh Mishad. Seperti sudah mengjangka apa yang akan berlaku selepas ini. Semestinya Cikgu Sufri Sports menemui ‘benda’ itu. Kelihatan Edan Berang melabuhkan punggungnya di tepi tirai surau, sambil menyandar bahagian belakangnya ke dinding, diletakkan tangannya di kepala. Aku amat tahu apa yang difikirkannya. Tak perlu aku bertanya apa, kenapa, bagaimana, dan aku biarkan mereka bersendirian. Mereka juga langsung tidak memandang ku, yang duduk di sebelah rak Al-Quran. Keadaan langsung sunyi, tidak seperti kebiasaan keadaan kami yang selalu riuh rendah. Aku sendiri kebingungan, aku sendiri takut dengan keadaan yang bakal menimpa, dan perlukah aku membiarkan masing-masing bersendirian. Aku segera mengambil 3 buah Al-Quran untuk dibaca dan menghulurkan kepada Edan Berang dan Mishad Jepun dan aku harap tindakkan ini tindakkan yang tidak menambah kemarahan mereka,tapi tindakkan yang dapat menenangkan mereka walaupun aku sendiri tidak tenang. Tapi tanpa ku duga, mereka ambil dengan muka yang tenang, sedikit masam, tanpa senyuman yang seperti hari-hari ku nikmati bersama mereka dan aku duduk dekat sedikit dengan Edan Berang. Mishad Panas segera bangun dan duduk di tiang surau. Dengan bacaan bismillah yang mereka baca hampir serentak, mereka terus membaca Al-Quran yang ku beri. Aku hanya memegang Al Quran pada tangan ku, dan hanya merenung muka kulit hadapan tanpa membaca sepatah ayat pun. Kemudian, sayup kedengaran di telinga ku, Edan Berang membaca Surah Yaasin, perlahan aku mengalih pandangan pada dia, dan ku lihat di kelopak matanya dengan bantuan lampu filament surau, takungan air mata berkilauan yang semakin banyak berkumpul disitu. Dia cuba mengelip matanya beberapa kali, supaya air takungan di kelopak matanya itu tidak jatuh di atas Al Quran yang sedang di bacanya. Secara tiba-tiba beberapa titisan air mata telah jatuh dengan lajunya di pipi yang berkulit hitam manis itu, kerana kelopak matanya tidak dapat menahan lagi takungan yang banyak itu. Nada bacaannya terganggu dan agak tersedu mungkin pada ku kerana kesedihan yang di alaminya. Edan Berang seorang sahabatku yang mudah terasa dan terluka, lembut hatinya, lain daripada Mishad Jepun yang keras hatinya. Perasaan ku berasa sayu dan mengalih pandangan ku daripada Edan Berang, merenung kembali kulit muka hadapan Al Quran yang ku pegang, sedih bercampur takut yang amat sangat, sehingga diri ku sendiri tidak dapat menahan lagi air mata di kelopak mataku pula, dan jatuh di kulit hadapan Al Quran itu. Aku terus mengesat air mata ku, dan terus bangun bergegas melangkah sambil Al Quran ku letak di rak semula, dan aku terus ke bilik wuduk surau yang terletak di belah kiri belakang surau jika mengadap kiblat. Sampai di situ, aku memandang cermin, melihat buruknya muka ku dengan air mata masih lagi tidak henti-henti keluar dari mata ku. “Aahhh..Kenapa boleh jadi macam ni??Habis aku..Habis aku kena belasah dengan Along, malu mak, malu abah. Habis aku, lepas ni nak sekolah kt mane??Ya Allah, tolong laa…Bodohnya aku.!!” Aku bermonolog seorang diri, sambil memegang kepala ku yang berambut botak itu. Aku masih memandang cermin sambil terkenangkan semula Bilik Serba-Rahsia, di mana tempat yang membuatkan persahabatan kami bertiga semakin baik, tempat yang menjadi asam garam kepada kami sepanjang hampir setahun kami sebilik, dan kemudiannya membawa malapetaka kepada kami juga, dan mungkin akan memutuskan persahabatan kami bertiga selepas ini. Tuduh menuduh, siapa yang bersalah merancang program ke gig di Segamat itu. Siapa yang mencadangkan bermalam di Bilik Serba-Rahsia dan tinggal secara haram di asrama. Siapa pula yang bersetuju. Siapa pula yang memulakan gerakkan operasi Bilik Serba-Rahsia. Adanya bilik itu lah yang membuatkan kami bakal di buang sekolah. Malu satu sekolah.-Rocko Mohamad


Bersambung..