Bilik Serba Rahsia Bahagian 2

Friday, September 19, 2008

“Apa kata kita lepak kat asrama dulu sampai hari gig tu, time tu asrama takde orang sangatkan?” cadang ku pada mereka. Mereka memandang ku dengan kening yang agak terangkat, memikirkan pelik cadangan ku.

“Masa tu kan, warden takde sangat, kita register kita balik kampung, then time gig tu hari Sabtu, kita keluarlah. Balik hari Ahad.” tambah ku, sambil tangan terhuyung-hayang untuk memahamkan mereka.

“Tapi tu kan melanggar peraturan walaupun masa tu balik kampung?” dengan nada risau Edan Berang sambil melihat flyers di tangan ku dengan mata yang malas.

“Silap-silap boleh kena gantung” tambahnya dengan nada yang sedikit marah.

“Ahh,kita kan ada bilik Serba-Rahsia. Kita boleh menyorok dari Cikgu Sufri” jawabku membantah, sambil memandang pada Mishad Jepun.

“Ko kena ingat, ni last amaran kita. Kalau kita buat salah macam ni lagi, kita boleh di buang sekolah.Giler laaa..” sambil mengggertap giginya, Edan Berang menjawab dengan pantas, angin bertiup layu mengerbangkan sedikit rambutnya, dan aku terkesima seketika dengan kata yang terucap dari bibirnya. Membuatkan aku sendiri ragu-ragu dengan cadangan aku sendiri.

“Aku on je..aku tak kisah.tak balik kampung pun takpe” jawab Mishad Jepun, yang sentiasa dikenali dengan sifat panas barannya dan sifat ‘on’ nya, kerana sentiasa bersetuju walaupun aktitiviti-aktiviti yang dicadangkan menggila. Sambil mendagu kepala, aku tersenyum mendengar kata-kata Mishad Jepun, sambil mengalih pandangan aku pada Edan Berang yang makin dikerutkan dahinya. Seorang sahabatku yang lain perangainya dari sahabat Banjarnya Mishad Jepun, Edan Berang selalu memikirkan kesan buruk. Sambil menunggu jawapan Edan Berang, aku lihat Tapai yang berbaring disebelah Mishad Jepun, sudah pun lena di belai mimpi mencuri masa renggang sebelum bermulanya kelas persediaan petang(PREP). Aku mengerling dengan ekor mata ku melihat Miswan Gay curi-curi mendengar perbualan kami, sambil bersandiwara mengemas lockernya. Selang beberapa lama selepas SPM, aku dengar cerita, dia di tangkap berbogel di bawah selimut bersama Sollah Warak. Tak tau sejauh mana kebenaran cerita tersebut, tapi semasa aku menjadi ketua dorm itu, memang selalu nampak Sollah Warak menyelinap masuk lewat malam pergi ke katil Miswan Gay tidur satu selimut. Macam-macam kalau hendak diceritakan pasal perkara pelik-pelik di sekolah aku ini. Nama sahaja sekolah agama. Ahh, macamlah aku ini baik sangat hendak mengumpat pasal orang.

“Oklah..aku follow korang!!” jawab Edan Berang, dengan suara yang agak tinggi, dan terpaksa, juga merisaukan, aku fikir. Terbangun Tapai dari tidur tersentak dengan suara Edan Berang itu. Edan Berang selalunya bersetuju jika Mishad Jepun bersetuju dengan aku. “Perhatian kepada semua pelajar, sila kosongkan asrama dalam masa 10 saat!!” Suara Cikgu Rosli Empet yang malas-tegas keluar melalui pembesar suara. Kami bergegas-deras memakai pakaian rasmi PREP, yang berwarna kuning cair, serta seluar hitam, tanpa sempat ke bilik air untuk mandi, dengan keadaan Tapai, muka baru bangun tidur, sambil Cikgu Rosli Empet membilang kiraan dari 10 sudah pun sampai bilangan ke 6. Aku sudah siap memakai kasut, dan berdiri di kaki lima menunggu mereka, melihat huru-hara keadaan asrama ketika Cikgu Rosli Empet membilang, tidak jauh dari landskap bunga di tengah-tengah asrama, kelihatan Femau Kucing sedang berlari ke bilik memakai tuala, sambil membawa perut buncitnya terhuyung- hayang, dan ketika sampai bilangan ke-empat Cikgu Rosli Sentenng, satu asrama riuh ketawa. Aku pun sendiri tidak mengerti kenapa mereka ketawa, mungkin aku masih geli hati melihat aksi Femau Kucing sebentar tadi.

Setelah seminggu persiapan sebelum ke gig di Segamat itu, pada malam Sabtu, kami bermalam di asrama, secara haram, kerana sudah berdaftar untuk balik kampung. Tapai sudah pun pulang ke kampungnya di Keratong(aku tidak berapa ingat Keratong berapa) dan menunggu kami di Segamat pada esoknya. Macam-macam perkara kami lakukan, maklumlah, pada masa penghuni asrama balik ke kampung, tiada orang lain yang boleh melihat, tiada orang yang boleh mendengar, tiada orang yang boleh melapor. Ada kalanya terasa sunyi yang amat sangat, dan mengundang rasa takut kami bertiga. Terfikir pula bayangan-bayangan hantu-hantu yang pernah wujud di sekolah ini, nenek kebayan dikejar pengetua Ismail, pontianak duduk di koridor asrama perempuan sambil menyanyi, penanggal di atas kepala Faizal Cagu di telefon awam di sekolah, mahkluk misteri di dewan sekolah yang menganggu Mahdi berlatih pidato, kes-kes hysteria yang tak habis-habis dan macam-macam lagi, hampir semua aku hafal jalan cerita-cerita seram tersebut. Meremang sejuk dibuatnya. Tapi untuk memecah kesunyian dan ketakutan, kami fly( keluar ke RnR belakang sekolah secara haram). Fly ini menjadi kebiasaan kepada kami bertiga dan juga rakan-rakan yang lain, terutamanya Softwan Ketot, Mat Pinoccio dan sepupunya Naem Walking, yang menjadi aktiviti wajib malam ketika di asrama. Ditambah pula untuk memecah kesunyian lagi, kami juga terperap dalam Bilik Serba-Rahsia sambil bermain daun terup, menghisap rokok, gelak ketawa. Hinggalah Edan Berang dan Mishad Jepun tertidur. Pada waktu itu, ketika mereka sedang tidur, aku masih terjaga, tidak dapat melelapkan mata. Aku keluar dari bilik, dan berdiri di kaki lima, memandang dari tingkat dorm ku tinggal ke tengah ruang asrama berdekatan dengan landskap bunga. Angin awal pagi, bertiup ke telinga ku, seolah membisik lembut bagai berkata sesuatu, bulan yang sudah di tenggelam awan seolah petanda akan turunnya hujan. Jam pada tangan ku sudah menunjukkan pukul 3.45 pagi, sambil aku memikirkan masa depan ku yang kian malap di sekolah ini. Bermacam-macam kesalahan telah aku lakukan, dan aku dikira pelajar bermasalah, begitu juga dengan Edan Berang, Mishad Panas, tak terlepas juga Sotfwan Ketot, Shaufi Ngantuk, Aizat ‘Apeq’ Harun, menunggu sahaja detik-detik untuk di buang sekolah. Memang ramai cikgu-cikgu yang mahu membuang kami dari sekolah ini, walaupun kami ini di kalangan pelajar-pelajar yang pandai, dan berbakti kepada sekolah. Seolah kami ini hidup segan, mati tak mahu berada di sekolah ini. Dengan sisa harapan ‘amaran terakhir’ di sekolah ini, kami masih berpeluang meneruskan persekolahan sampai habis SPM, walaupun kadang kala terdetik di hati untuk berpindah dari sekolah ini ke sekolah lain, terbatal hasrat kami jika perpindahan itu memerlukan wang ringgit yang banyak dari ibu-bapa, perbezaan sistem pembelajaran di sekolah lain membebankan kami untuk menelaah, kehilangan rakan-rakan yang sudah tidur sebantal, makan sepinggan, pendek kata semuanya menyusahkan. Bukan kami tidak mahu berpindah sebab sayangkan sekolah ini. Kami sememangnya benci dengan sekolah ini. Mahu dibakar sahaja sekolah ini selepas habis SPM nanti. Sambil aku berasa marah, aku memandang tangga berdekatan pondok telefon di tingkat bawah. Di tangga itu selalu sahaja aku di rotan oleh Cikgu Razli Budin kerana lewat 1 minit ke sekolah, walaupun kadang-kadang tanpa apa-apa kesalahan pun. Aku semakin marah, sampai terniat dalam hati aku untuk mencalarkan kereta Proton Waja barunya. Baru padan muka dia. Tiba-tiba pandangan aku beralih kepada pondok telefon berdekatan tangga tersebut.Ahhh..aku teringat pula cerita ada orang ternampak pontianak bergayut dengan telefon itu. Perasaan marah aku bertukar menjadi takut, bulu roma aku mula meremang. Segera aku membuka langkah pantas ke Bilik Serba-Rahsia, dimana Edan Berang dan Mishad Panas sudah tidur lena. Aku kunci dari dalam, dan segera mengunci pintu Bilik Serba-Rahsia, tanpa menutup lampu, segera aku melabuhkan badan ku ke tilam. Selepas 10 minit,Aku masih tak dapat melelapkan mata. Jam sudah menunjukkan pukul 4.30 pagi, aku memikirkan bagaimana letihnya untuk bertolak ke Segamat jika aku tak tidur malam ini, sambil berselang-seli di kepalaku terbayang mitos pontianak di pondok telefon itu..arghhh…Aku cuba, beberapa kali ketika aku sudah terlelap, gambaran cerita-cerita hantu asrama yang lain pula mengejutkan aku semula dari beberapa lelapan tadi .Arghh…sakit juga hati ku melihat lenanya Edan Berang dan Mishad Jepun tidur. Hendaknya hati aku menyergah mereka agar terjaga. Tapi biarkan la..-Rocko Mohamd
Bersambung..

Transendental Muzikal

Monday, September 8, 2008





Sedang aku hirup kopi keras panas atas bangku berbantal kapas,

Aku dengar musik kelasik yang antik gemersik,jus terus membisik ke dasar hati yang mahu lari dari konspirasi duniawi yang infiniti tak henti henti..

Arrghh..haru pilu..sakit bingit..


Telus musik ini terus ke jiwa ku..

Tak perlu loyalti untuk berdiri..

Tak perlu gossip untuk publisiti..

Tak perlu reality televisi untuk populariti..

Tak harap seksi untuk komersialiti..


Hanya musik penuh spirit,

Chemistri yang berintegriti,

Eksperimentasi yang beremosi,

Jiwa peka dunia,rasa tak haloba,

Artistik yang simbolik,

Kreatif,sensisitif,optimis..


Arghhh..

Kopi aku tersesak hirup,

memikir industri musik nan semakin pikuk,

Corong radio semakin di korup,

Isi perut orang busines yang menggemuk..


Bantal kapas ku cucuk,hati ku panas melubuk..¦aku amuk..

Aku merajuk pikuk dengan musik sedia lapuk..teruk..

Cantik tapi hipokrit..

Ethik tapi munafik..-Rocko Mohamad


Butterfingers:Untuk Rakyat

Thursday, September 4, 2008

Mendengar dan mengenali Butterfingers bukannya seakan mendengar kumpulan muzik lain, kerana wujud ruang intelektual yang harus kita terokai, selain vocal dan muzik mereka yang amat bagus serta telus. Mungkin kumpulan ini di angkat sebagai fenomena rock golongan muda pada pertengahan 90 an, sehaluan dengan era itu, tumbuhnya golongan golongan yang memerlukan musik alternative, yang lebih rock, rebel, dan mahukan kumpulan tempatan boleh dijadikan ikon seperti Pearl Jam, Soundgarden, dan Nirvana terutamanya, kata mereka. Namun ada juga yang menganggap mereka penderhaka ataun pemberontak terhadap aliran yang sudah dominan dengan industri musik tempatan. Namun bagi aku, band ini lebih kepada muzik untuk orang ramai, tidak kira golongan muda atau tua,berlandaskan budaya kita bercampur adukkan dengan muzik buatan sendiri, tp biasala, memang tidak lari dari budaya barat,sedangkan root music itu sendiri datang dari barat. Jika melihat kembali kepada album album awal mereka seperti 1.2 miligram, Butterworth Pushful, langsung tidak benar apa yang aku jelaskan tadi, malahan langsung tiada bukti. Tiada unsur-unsur kebudayaan kita, bahkan bertunjang tapak kaki orang barat. Sebaliknya jika diperhatikan secara persis lirik lirik mereka, memang agak mengkagumkan, juga mempersoalkan.

Namun.setelah lama mereka menyepi selepas album Transcendene yang digilai ramai, Malayneum pula menyusul. Terlalu lama untuk aku menyukai dan mengkaji album ini, tidak seperti album-album sebelumnya kerana perubahan muzik yang begitu ketara dan memang aku langsung tidak faham persoalan dan pesanan yang mereka mahu sampaikan. Cuma beberapa lagu yang boleh dikatakan bagus dan sedap didengar seperti Pacific dan Malayneum, dan aku asyik me‘rewind’ lagu itu sahaja, serta me‘forward’ kan lagu yang tidak berkenaan(Pada masa itu,masih menggunakan kaset). Seolah hilang taring mereka dalam album ini. Tapi aku tetap cuba untuk memuaskan hati aku dan mengatakan ‘ya’ bahawa album ini bagus kerana pada fikiran aku, tidak mungkin sampai tahap ini sahaja kreativiti mereka. Sampai satu masa, setelah mendengar dengan teliti dan diulang-ulang, aku rasa satu kelainan yang amat memperlihatkan daya intelektualisme kepada pendengar dengan satu kaedah yang agak unik, hingga tak kering gusi aku mendengar, mengkajinya dan persoalan mereka merangkumi seribu satu hal. Dari segi garapan lagu, serta muzik yang santai, keuniversalan mereka terserlah dalam lagu-lagu seperti lagu Pretty Rain, Suddenly, Antidotes, yang dicampur adukkan dengan blues, country, melayu dan sedikit jazz. Memang tiada kumpulan tempatan yang boleh atau berani, atau kedua duanya sekali untuk menghasilkan,memasarkan dan memperdengarkan produk seperti ini kepada orang ramai. Butterfngers sendiri mengaku album ini adalah album ‘bunuh diri secara komersial’. Tapi bagi aku tidak. Ini lah titik perubahan dan permulaan muzik yang seharusnya mereka identitikan untuk diri mereka sendiri.Dalam erti kata lain, perubahan dan permulaan muzik yang memerlukan daya kreatif dalam diri pendengar untuk merasai nikmat muzik .

Itulah ruang intelekual yang aku sebutkan sebentar tadi. Pendengar juga seharusnya kreatif menilai muzik serta menerima muzik. Perlukah dunia rentak kita hanyalah pop, atau rock sahaja, atau balada? Perlukah kita mendengar lirik-lirik cinta cintu yang kian di ulang-tayang?Perlukah kita hanya menggoyang kaki dan mengangguk kepala mendengar muzik?Mungkin soalan ini keluar dari mulut aku kerana bahana mendengar Butterfingers. Tak perlu rasanya aku mengupas panjang tentang album Selamat Tinggal Dunia, yang hasilnya lebih diterima dan mula men ‘re-populasi’ pendengar Butterfingers yang suatu masa dulu hilang. Dengan garapan lagu seperti Taman Tasik Perdana,Kabus Ribut,Cuai,Tentang-Tentang, terserlah idealisme yang membuat pendengar berfikir tentang kehidupan sehari-hari baik dalam pergaulan, percakapan, serta penulisan. Dan semenjak album itu, tak perlulah saya mendengar Butterfingers, tapi menjiwai mereka, kerana menjiwai lebih diperlukan dalam memasuki ruang intelektual mereka.

Album terbaru, seakan sambungan dari Selamat Tinggal Dunia bagi aku, iaitu Kembali, seolah-olah menyambung perjuangan mereka yang terhenti akibat kontroversi-konroversi media yang memerang mereka ketika di persada aliran utama(mainstream) industri. Apa yang aku amat tertarik dengan album ini, ialah lirik-lirik mereka percakapan harian kita, muzik mereka yang semakin berbudaya kita, dan sememangnya mencipta kelainan adalah identiti mereka, cuma kali ini kelainan yang mengandungi keindahan dan misteri yang masih belum di bongkar.Walaupun album ini lebih radio-friendly, bagi aku ia tetap memerlukan kesabaran pendengar untuk mejiwai lagu-lagu mereka, dengan pengunaan efek-efek yang pelik(tidak seperti album selamat tinggal dunia yang lagi pelik). Mungkin itu cara dia meluahkan realiti sebenar masalah mereka atau rakyat, tidak seperti album selamat tinggal dunia yang terlalu lancang dan terbuka membidas, untuk kali ini mereka lebih tersirat. Dan lebih terserlah pengaruh P.Ramlee seperti dalam lagu Mati Hidup Semula dan Lengkap Semula, dan juga pengaruh R.Azmi.Walau apa pun, album ini boleh dikata album terbaik dalam simpanan koleksi aku selain Jimi Hendrix Experience dan Canggung Mendonan dan setelah mendengar album ini, tercetusnya idea untuk puisi Transendental Musikal. Kepada para pembaca, silalah cuba mendekati Butterfingers, dimana ada ruang intelektual untuk di selongkar bersama. Memang benar kata mereka, album adalah album untuk rakyat. Untuk Butterfingers, terima kasih kerana sudi berdiri bersama rakyat.-Rocko Mohamad