Bilik Serba Rahsia
Baru-baru ini, selepas setahun aku menyambung pelajaran ku di Unikl-BMI, akibat ‘tersangkut’ di Uitm, aku bertemu rakan-rakan ku yang sudah lama tak ketemu semenjak tamat sesi persekolahan di asrama Sek. Men. Keb. Agama Pahang, bertempat di restoren mamak berhadapan Megamall Kuantan. Selain Azrin Jerawat dan Fadly Fujitsu, Soleh Bussiness, yang selalu datang menjenguk ku di Gombak, rakan-rakan yang masih berkumpul di Kuantan yang jarang ku ketemu, Softwan Ketot , Mr. Van de Sar, Fadlan Fadlun, Mishad Jepun, Khairun Kerinting dan Hafiz Puasa, ada bersama pada malam itu, tidak terlepas aku sendiri mereka gelarkan Shahril Lecur. Masing-masing ada rahsia di sebalik nama mereka, yang bagi ku tidak kelakar dan menghina, tapi sekadar mengingatkan aku karakter mereka ketika aku sudah tua dan ingat-ingat lupa. Sebelum pertemuan tersebut, aku berjumpa Shaufi Ngantuk, yang sempat bermalam di rumah ku di Gombak bersama Azrin Jerawat, dan Fadly Fujitsu. Tidak lupa juga, Fahmy Berkulat, yang sudah semakin menggemuk dan sudah pun bertunang, sempat bermalam di rumah ku ketika perjalanan tugasan luarnya ke Sarawak. Alhamdulillah, sudah senang hidup dia, aku juga yang masih di bawah dan di takuk lama, seolah aku dengki dengan kejayaan dia. Tapi aku tidak kisah semua itu, kerana sebenarnya sedikit pun aku tidak dengki dengan kejayaan rakan-rakan ku malahan aku berdoa, cuma faham-faham la, bila sudah bekerjaya, hulurlah sedikit untuk teh tarik segelas, roti kosong dan hidangan memori lampau di asrama yang kemudian disusuli hilai ketawa.haha..Rakan-rakan yang lain, kebanyakkan mereka sudah pun habis belajar, dan menunggu untuk mendapat kerja. Sabar, rezeki rakan-rakan ada di mana-mana.
Ketika di mamak berhadapan Megamall, kami masih menunggu untuk pulang, hujan rintek-rintek yang kemudiannya kian melebat, dilewati umpatan dan borak-borak ketawa mengenangkan Cikgu Rusli Senteng, Pak Lang Kantin, Suami Pengetua Cendawan Di Muka dan banyak kisah lawak yang kami kongsi, bagaikan hari gembira kepada kami, sehingga plot pergaduhan Ayin Jerawat dengan Shaufi Ngantuk ketika di asrama terlupa akibat gembiranya pada malam itu. Pelanggan lain yang suam-suam kuku jumlahnya, seolah mual dengan perangai kami yang riuh rendah. Kelihatan beberapa anak dara yang duduk berdekatan dengan kami, sambil banyak mata yang merayap-rayap ke tubuh gadis-gadis itu termasuk aku dan rakan-rakan ku.Di bawah sinar lampu neon yang melihatkan titisan hujan yang berkilau bagai mutiara, dalam hati ku berharap biarlah lama lagi hujan ini, kerana bukan senang untuk bersama mereka. Sedang berharap, tersentak lamunan aku dengan pertanyaan Mishad Jepun, “Dimana budak Edan?Ko xde contact dia?”. Dengan pantas aku teringatkan Edan Berang, sahabat baik ku yang sudah sekian bertahun aku tidak ketemu. “Xde..langsung xjumpe dia, no dia pun aku hilang, last sekali aku contact masa aku di Uitm”.Jawabku sambil keningku yang layu kemuraman. Aku dan Mishad Jepun terdiam seketika, persoalan Mishad Jepun menemui titik noktah tanpa jawapan yang memuaskan dari mulut ku dan dan tak perlu aku bertanya soalan yang sama kepada dia, kerana memang aku sudah tahu jawapan yang akan keluar dari mulutnya. Aku kembali merenung titisan hujan di bawah lampu neon yang semakin mereda, sambil kepala ku, ku letakan di atas lengan akibat keletihan dan menarik nafas sebak kerana pertanyaan Mishad Jepun. Mishad Jepun terus menyambung percakapan dengan Softwan Ketot, yang duduk bersebelahannya, seolah tidak mahu berborak dengan aku. Fikiran aku kembali melayang.
Aku masih teringat lagi, sebagaimana aku teringat dengan kisah aku pada masa itu, ketika aku di tingkatan 4, aku bersama Edan Berang, Mishad Jepun, dan Tapai(Kali terakhir aku jumpa dia ketika bersama di Uitm Penang)tinggal sekali di dorm yang sama. Dalam dorm itu, terdapat bilik kecil di sebelah kanan jika di pandang dari pintu masuk, dan katil kami berempat terletak di hujung penjuru kanan dorm itu, berdekatan dengan bilik kecil tersebut. Bilik tersebut menjadi tempat rahsia untuk kami menjalankan aktiviti yang kebanyakkannya melanggar peraturan asrama, seperti merokok, bermain daun terup bersembunyi kerana lari dari pergi ke surau untuk solat Subuh, menyorok buku-buku yang di haramkan di asrama,seperti majalah ROTTW, zine-zine underground, flyers gig, menyorok ketika makan lauk pasar malam kerana takut di‘pau’, ada juga berposing dan bergambar(ketika itu, menggunakan camera manual)dan ditampal poster-poster Nirvana, Battlegrounds pada dinding, Tulisan-tulisan gatal tangan seperti ‘this is underground area’ tersergam di dinding seolah hanya orang tertentu sahaja yang boleh memasuki bilik itu. Bilik kecil itu juga seolah memberi semangat kepada kami untuk menelaah perlajaran ketika berada di dalamnya. Juga bilik itu tempat rahsia kisah-kisah cinta rakan-rakan di kongsi bersama, tempat rahsia untuk mengumpat rakan-rakan yang sentiasa bersandiwara mesra, tempat rahsia untuk pengajaran(pukul) kepada orang yang suka mencuri dan berdusta, selain tempat mengelak dari Cikgu Sufri Sports, Cikgu Razli Budin, dan Cikgu Rusli Senteng. Ayin Jerawat, Naim Walking, Softwan Ketot, serta AG Ayam selalu menjadi tetamu bilik itu. Aku gelarkannya Bilik Serba-Rahsia.
“Woit, ada gig kat Segamat minggu depan. Nak pergi tak?” tanya Mishad Jepun dengan suara yang beria-ia. Sambil menghulurkan flyers gig itu kepada ku. Tersentak Tapai yang sedang baring hampir melelapkan mata.
“Minggu depan kan kita balik kampung?nak pergi gak ke?” jawab Edan Berang, dengan sedikit bibir bawah dijuihkan.Sambil aku melihat list band yang akan bermain di flyers, tertulis band kegemaran kami seperti Battlegrounds, Muck, Honey Bee, aku segera menjawab
“Jom lah, bukan selalu kita boleh pegi gig. Tak payah balik kampung laa”.
“Aku nak pegi..tapi aku balik kampung dulu, aku bertolak dari Keratong ke Segamat” sambung Tapai yang selama itu membisu sambil merenung flyers pada tangan ku.
Aku mengangguk bersetuju sambil mengalihkan pandangan aku pada Edan Berang dan Mishad Jepun yang sedang mengerutkan kulit dahi, yang pada firasat ku, sedang memikirkan terlalu jauh untuk kami berulang alik, pulang ke kampung, dan kemudian pergi Segamat. Dua kali kerja, dan membazir masa. Kampungku di Rompin, Mishad Panas di Kuantan, dan Edan Berang di felda Tembangau. Bagi Edan Berang, mungkin tak menjadi masalah untuk berulang-alik ke Segamat kerana feldanya dekat dengan Segamat. Aku pula, tidak mungkin aku akan berbuat demikian kerana jauh di Rompin, tapi memandangkan kejarangan kami melayan ‘moshing’, ‘slam’, ‘pogo’ di gig membuatkan kami berfikir 2, 3 kali...-Rocko Mohamad
Bersambung...