Showing posts with label BicaraHati. Show all posts
Showing posts with label BicaraHati. Show all posts

Perginya Ayahku Menemui Al Rahim..

Monday, January 3, 2011

Photobucket


Deru angin malam terus menyanyi di sekitar gegendang telinga aku.Aku renung ke dada langit, kelihatan kerdipan bintang yang malap terselindung di balik awan, seperti jiwa aku yang yang tidak puas dengan persoalan-persoalan yang menganggu dan mengetuk pintu rohani. Dalam kedinginan itu, aku menarik nafas, cuba memprotes pemberontakkan jiwa yang sesekali menerjah masuk ke dalam ruang-ruang otak, membuat simpulan-simpulan yang berselirat sehingga memeningkan kepala. Indahnya cahaya lampu neon di halaman rumah , membiaskan warna-warna keemasan berkilauan di cermin-cermin tingkap, namun tidak dapat menenangkan jiwa aku walaupun seketika cuma. Kadang-kadang terasa kepalangnya sakit jiwa ini, bila terkenangkan peristiwa itu, terasa ingin sahaja aku memecahkan cermin-cermin tingkap rumah, terasa juga ingin memekik perit biar pecah kesunyian malam. Astaghfirullah, ini sahaja yang mampu aku lafazkan, daripada mengikut kehendak syaitan yang mahu menyesatkan aku.

Titisan air mata mengalir deras melintasi pipi aku. Terasa sunyi tanpa panggilan nama aku dari dia di setiap hari, rindu leteran-leteran dia yang aku rasa tidak akan aku kecapi lagi, panggilan telefonnya yang bertanyakan kabar diri aku ini, menolongnya pergi mengusaha kebun di hulu desa, ketagih kasih sayang tidak terluak dari seorang abbi yang sufi. Kenapa?Kenapa sungguh cepat dia pergi?secara tiba-tiba dia pergi,ketika diri aku seorang yang lalai dengan tanggujawab duniawi dan ukhrawi, KETIKA AKU SENDIRI TIDAK MENGERTI KASIH SAYANG DIA TERHADAP AKU?? Seorang ayah itu adalah anugerah dari Tuhan, dan fitrahnya manusia menyayangi setiap anugerah itu. Tapi aku, tidak sempat untuk menunjukkan kasih sayang aku terhadap dia., membalas segala jasa-jasa dan perngorbanannya. Biar pun sepanjang hayat diri ku disulam air mata darah, tapi dia tidak akan kembali menghiasi ruang-ruang kesunyian ini. Cuma……..ahhh…aku cuba berhenti menangis, beristifar..tapi….Setiap detik detik permergiannya, dari awal hingga akhir, tidak henti berulang-ulang tayang di sanubari.

Aku tidak pernah sesekali menyesali takdir, begitu juga mempersoalkan nasib ke atas diri aku, hanya dugaan dan cabaran dari al-Rahim yang sentiasa mahu menguji kesabaran hamba-Nya. Tetapi, kesabaran tidak cukup untuk memenuhkan jiwa kosong ini dengan isi-isi rohani jika kita masih tersasul jauh dari lorong-lorong hakiki, biar pun datang berleret-leret dugaan dan cabaran. Semakin bertimbun dugaan, semakin membara peperangan jiwa menuntut isi-isi rohani. Dan jalan-jalan sesat menjadi pilihan untuk mengisi kekosongan jiwa tersebut, berakhir lah jiwa yang kosong itu di tampal dengan karat-karat maksiat yang melekit-lekit, melekat-lekat pekat. Apakah daya kesabaran yang di tempa, jika tidak di salut dengan jiwa yang penuh dengan isi-isi rohani. Pemergian ayah ku, adalah dugaan paling besar dalam hidup aku, dan sudah sampai masanya untuk aku memperkemaskan diri ke jalan suci al-Rahim untuk mengatasi dugaan ini….al-Fatihah kepada ayahku...

Bicara Hati:Tergopoh-Gopoh

Friday, August 21, 2009

Photobucket

Semalam, kekorupan cakera keras(hard disk) aku, membuatkan aku menjadi keluh kesah, tidak tentu arah, memikirkan betapa banyaknya barang-barang yang segalanya bagi aku amat penting untuk blog aku ini. Bukan juga sekadar untuk blog ini sahaja, kerja-kerja mikroprosessor, elektronik, entrepreneur, video-video, lagu-lagu, gambar-gambar, hampir semuanya bersaiz 50 gigabait hilang gara-gara ‘technical difficulties’ yang tereka cipta oleh diri aku sendiri yang terlampau mengikut kehendak hati tambahan pula otak aku sudah sememangnya agak lembab dalam perkara-perkara pembaikkan computer. Dengan perasaan keluh kesah dan tidak tentu arah itu, secara tiba-tiba diri ini menjadi sungguh berang, radang dan melenting, badan berpeluh sampai terasa haba-haba sedang bergolak di sekeliling telinga dan di dada, sehingga menjelikkan rakan-rakan di sekeliling aku. Apa tidaknya, hampir semua garapan-garapan aku yang masih tidak aku masukkan dalam blog ini lagi, semuanya hilang atas alasan kesilapan bodoh diri sendiri. Bagaimana hendak aku mendapatkan semula? Ah, kalau aku hendak mengingat semua apa yang sudah aku garap, daya ingat aku ini sudah tidak tersusun rapi, tidak cukup kuat lagi, usia sudah meningkat, adalah saraf-saraf yang semakin tidak cukup di otak, silap-silap hari bulan, tabiat tersenyum dan bercakap seorang datang, tidak ke gila namanya.

Ketika proses gelombang keberangan sedang hampir mencapai tahap kronik, tiba-tiba sahaja gelombang ketenangan datang dari hujung kaki sampai ke hujung kepala. Perlahan-perlahan menghempas gelombang keberangan yang tidak tentu arah tadi. Mencetuskan suasana yang agak terpinggir dan sunyi, hati pula terasa terhuyung hayang longlai dalam gelombang ketenangan, otak pula mulai timbul keluar dari dasar gelombang keberangan, menghampiri persisiran untuk mendampar bersama hati, lari dari kegolakkan gelombang yang tidak diperlukan. Ahh..ini sebenarnya masalah aku. Masalah aku adalah jiwa remaja ini, yang selalu tergopoh gopoh, dalam membuat segala benda sehingga menyusahkan diri sendiri. Paling elokknya, kalau aku ingin menghasilkan sesuatu yang hasilnya lebih baik dari sebelumnya, sifat tergopoh-gopoh ini harus aku campak ke longkang. Kalau tidak, sifat ini akan terus mendapatkan hasil yang busuk seperti kekorupan cakera keras aku, kerana tergopoh-gopoh hendak menggunakan computer. Aku fikir semua remaja memang ada sifat tergopoh-gopoh ini.

Kita ini remaja, lihatlah. Dari semua aspek kita tergopoh-gopoh. Ambil contoh, aspek cinta. Semuanya tergopoh-gopoh, tidak kira yang lelaki atau perempuan, sama sahaja. Hendak cepat sahaja mencapai objektifnya. Hendak pegang ini, pegang itu, cium ini cium itu dah akhirnya mulalah ‘bersawah ladang’ dalam kereta, hotel-hotel murah, rumah-rumah sewa, hutan ladang, dan kadang-kadang sampai terkeluar pula anak tanpa bapa. Bila sudah kalut, lagi sekali sifat tergopoh-gopoh penyelesai masalah. Buang bayi, bunuh diri, semunya berpangkal dari sifat ini. Aku pun sama sahaja, sesekali aku membaca semula cerpen-cerpen yang sudah aku siapkan, banyaknya terasa garapan aku ini tidak sehebat mana. Cepat dan kelam kabut, objektifnya selapis sahaja, cara membuatnya melalui struktur dan kaedah sama sahaja, tiada impak yang berkesan kepada pembaca, seolah-olah terlalu obses untuk menyampaikan perutusan tanpa lapisan-lapisan yang perlu membuat pembaca berfikir. Terasa ingin mencampak sejauh-jauhnya cerpen-cerpen itu. Menjadi-jadi pula sifat tergopoh-gopoh ini. Bagus juga cakera keras aku korup, biarkan aku menggarap hasil yang lebih baik dan bermutu. Sekarang baru aku sedar, garapan aku perlu menghadapi payah terlebih dahulu sebelum boleh aku menikmati kesannya yang mendalam, dan kemudiannya barulah di masukkan ke dalam blog ini. Biarlah ruang untuk cerpen aku tutupkan untuk sementara waktu. Tidak perlu lagi tergopoh-gopoh, kerana kelak diri sendiri teroboh, baru padan muka.

Bicara Hati :Cinta Apa??

Monday, February 23, 2009

Aku tidak pernah merakam kisah-kisah cinta aku setelah 23 tahun 2 bulan 14 hari aku hidup di bumi, dalam bentuk-bentuk tulisan mahu pun dalam bentuk lagu. Kerana kisah-kisah itu kebanyakkannya sudah aku ingat-ingat lupa, ketika usia semakin meningkat, bahkan tidak banyak plot-plot yang romantis dan tragis untuk di garapkan. Cuma satu kisah cinta aku bersama seorang perempuan yang terniat dari dahulu lagi untuk aku ceritakan pada masa nanti, iaitu kisah aku bersama Khairunissa. Perlukan masa yang panjang untuk mengimbas kembali waktu-waktu bersama dia. Hakikatnya, aku sudah pun menulis tentang dia, dalam A Letter To Sasha. Kadang-kadang, ada rakan friendster bertanya pada aku, kenapa menggarap dalam bentuk surat? Aku pun tidak tahu hendak menjawab bagaimana. Mungkin aku terikut-ikut sedikit dengan cara A.Samad Said menggarap kisah-kisah cintanya dalam bentuk surat seperti dalam Warkah Untuk Salmi Manja, yang aku lupa bila ia diterbitkan, kerana sudah 2 tahun buku itu hilang entah kemana. Semenjak dari itu, terfikir kerap kali juga aku bahawa surat itu salah alternatif yang amat baik untuk menggarap kerana surat adalah suatu objek, dan cinta itu adalah suatu subjek. Bila di gabungkan bersama, nilai sentimental akan wujud dan seterusnya akan mencetuskan idea yang baik.

Ya, cinta itu adalah subjek, subjek yang wajib diambil oleh semua manusia di bumi ini. Semenjak dari Nabi Adam A.S sudah wujud benda bernama cinta, sehingga Nabi Muhammad S.A.W sendiri mempunyai kisah cinta baginda . Aku bukannya pandai sangat untuk membebel tentang cinta, cuma ketika aku di sebuah perpustakaan lama di bandar Rompin, aku terbaca sedikit kisah cinta dalam sebuah buku bertajuk Setitis Embun Semarak Api, oleh Professor Emeritus Shahnon Ahmad. Buku ini bukanlah sebuah buku berceritakan tentang cinta semata-mata, tetapi sebuah buku tentang perjalanan hidup beliau sepanjang menjadi seorang seniman. Aku pasti nama beliau amat terkenal di kalangan kita, kerana buku beliau bertajuk SHIT, pernah diharamkan oleh mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir, kerana kelantangan beliau dalam mengkritik kerajaan pada masa itu, dengan isi-isi yang agak lucah, tetapi tersirat makna yang amat mendalam sekali. Dalam buku ini, dalam tajuk Dato’ Pernah Bercinta, beliau menggarap pengalaman beliau berwawancara bersama pengkritik Kesusasteraan Indonesia-Melayu Professor Dr Harry Aveling. Garapan beliau ini bagi aku amat bermakna sekali bagi kita yang sedang berlumba mengejar cinta pada masa ini.

Kalau Professor Harry hendak simpulkan babak terakhir ini sebagai babak cinta sejati, lebih munasabah. Tapi cinta sejati ini lebih bersifat cinta selepas kahwin; bukan cinta sebelum kahwin Tidak ada pertemuan rahsia antara kami berdua. Yang ada pun hanya kerling-kerlingan, senyum-senyuman dan yang lebih agresif sedikit ialah duduk sebangku atas bas ketika pergi dan balik dari sekolah.

Tapi sesudah kahwin, kami benar-benar bergelut; tak kira malam, tak kira siang. Saya benar-benar menjadi ‘petani’, membajak, menyisir dan melanyau ‘sawah’. Dan isteri saya benar-benar menjadi ‘sawah baruh’ yang selalu digenangi air hujan. Seingat saya, ‘sawah’ isteri saya tak pernah kering, asyik basah sepanjang musim, baik musim tengkujuh mahupun musim kemarau.

Saya jelaskan secara tidak langsung kepada Professor Harry tentang makna ‘Cinta’ dalam erti kata yang sebenar. Barangkali berlainan dengan makna cinta yang berlaku di Australia atau di negara-negara luar. Kini ‘Cinta’ di negara kita ini pun sudah lain coraknya . Cinta sekarang mudah menjadi ganas, agresif; malah banyak babak-babak di luar duga berlaku termasuk rogolan, penderaan, penipuan, pembunuhan dan sebagainya.

Dari dulu hingga sekarang saya hanya bernafsu kepada isteri saya sahaja. Langsung tidak pernah bernafsu pada anak-anak atau cucu-cucu seperti segelintir ibu-bapa dan datuk-datuk di zaman moden ini. Memang lain dengan cinta sekarang ini. Segala-galanya macam binatang dalam rimba belantara.


Aku sebenarnya dalam kisah cinta mana dari perspektif beliau? Apa cinta yang aku cari selama ini? Aku berbisik dalam hati, mengenangkan nasib tidak lagi dapat menawan cinta mana-mana perempuan. Seperti kata orang Amerika “What a loser”, itulah konteks sebenar hidup cinta aku sekarang ini. Tapi walaubagaimana pun, setiap cinta yang aku cari itu, pasti Tuhan akan temukan cinta yang terbaik untuk aku. Niat yang utama harus aku tanamkan untuk cinta seorang perempuan adalah semata-mata kerana cinta kepada Tuhan.

Bicara Hati :Kafe Siber Amran

Sunday, January 18, 2009

Malam tersebut tidak tersangka oleh aku akan turun hujan, hujan yang terlalu lebat . Ketika petangnya, aku lihat cuaca amat baik sekali, dan awal malamnya bulan penuh timbul dengan aman. Sudah bosan dengan akitiviti harian melepak bersama rakan-rakan di kedai kopi Amir Misai, aku berniat untuk pergi ke kafe siber Amran, anggaran lebih kurang dalam lingkungan 2 batu dari rumah, terpaksa bermotosikal meredah jalan yang agak muram pada lewat malam. Sudah lama tidak pergi ke kafe siber, maka terdetik pula petang itu aku ingin mencoret didalam blog friendster, dan meninjau-ninjau peti surat yahoo, facebook dan ym. Kalau ketika aku di Gombak, ini sememangnya antara hobi aku berkunjung ke kafe siber lagipun harga perkhidmatan yang agak murah, berbanding di kampung ini yang agak mahal, berbekalkan terhad kepada 6 atau 7 computer yang masih menggunakan Pentium 4, dan Monitor CRT dengan harga RM3 untuk 1 jam. Kadang-kadang ingin sahaja aku melemparkan kata-kata kesat kepada pemilik kafe siber ini. Perangai macam ini lah yang membuat orang-orang kampung dan orang-orang Melayu ketinggalan di belakang. Aku bukan mengeluh kerana harganya yang agak mahal, tetapi tahap perkhidmatannya yang sudah 2,3 tahun, sesekali aku berkunjung ke situ ketika bercuti di kampung, masih tiada apa-apa perubahan. Hendak kata tidak untung, mustahil juga kerana terpampang Myvi baru di rumahnya, dan keadaan kedai yang sentiasa penuh dengan pelanggan dengan bayaran yang mahal.

Tidak sempat ke kafe siber, aku dibasahi kuyup dengan hujan yang aku tidak tersangka. Terpaksa untuk kali ke 1000 aku singgah di kedai kopi Amir Misai, dan kelihatan rakan-rakan ku yang aku rasa sudah 2,3 jam bertapa di kedai itu, tersengeh-sengeh melihat aku kebasahan. Geram juga aku rasa, mentang-mentanglah mereka sudah berkereta, aku hanya bermotosikal. Ahh..panas hati aku dibuatnya, dengan ketidakselesaan pakaian basah kuyup ini, ingin sahaja aku mencabut semua pakaian aku, dan memakai boxer sahaja. Mujurlah tahap tahu malu aku masih tebal, tambahan pula Kak Long dan Adiknya yang agak comel, masih belum balik kerja. Aku banyak mendiamkan diri ketika di situ, sambil merenung tentang tujuan aku untuk ke kafe siber Amran terhalang. Terpaksalah aku menangguh memindahkan blog friendster aku ke blogspot.com, tepaksalah juga aku menahan rasa rindu ini terhadap rakan chat aku, Fressia dan Julia, dan terpaksala aku menahan kebosanan melepak di kedai Amir Misai ini. Esoknya pula aku perlu pulang ke Gombak, untuk mendaftar memasuki semester ke 4, di Unikl, dan untuk masa seminggu dua selepas itu, mungkin tidak sempat aku ke kafe siber, dengan urusan-urusan pendaftaran subjek, dan penyusunan jadual pembelajaran. Paling akhir aku menulis dalam blog aku adalah Finding Her part 1 tidak silap aku. Aku sudah lupa bagaimana aku ingin menyambung untuk bahagian seterusnya, mungkin akan mengambil masa yang agak lama bagi mengembalikan idea-idea tersebut. Hampir 2 bulan di kampung, tanpa membuka langsung blog ini. Apa tidaknya, kalau aku pergi ke kafe siber pun, hanya membuka YM. Jika mahu membuka laman web, 1 jam lepas itu baru terpampang bahagian ‘home’ and ‘login’ nya.

“Jom Balik”. Mee Gemok menyergah aku. Aku segera memandang jam dinding di kedai itu. Kelihatan sudah pukul 4 pagi. Aku terlelap agak lama di atas meja berbantalkan lengan aku dengan baju yang masih basah.
“Kira semua Kak Long”. Sambung Mee gemok, sambil menghulurkan wang kertas RM 10. Aku tersenyum tanda berterima kasih kepada Mee Gemok, juga begitu rakan ku yang lain. Sampai di rumah, selepas mandi aku terus sahaja bersiap untuk tidur. Sebelum tidur, aku asyik ulang-ulang mendengar lagu Srikandi Cintaku yang sudah lama aku tidak dengar. Apa yang aku suka tentang lagu ini ialah liriknya yang puitis ditulis oleh Nasir Jani. Kena pada penulisnya seorang seniman yang pernah dianggap gila pada suatu ketika. Hinggalah aku terlelap sehingga keesok petangnya pada pukul 4 petang. Haha..