Bicara Hati :Kafe Siber Amran

Sunday, January 18, 2009

Malam tersebut tidak tersangka oleh aku akan turun hujan, hujan yang terlalu lebat . Ketika petangnya, aku lihat cuaca amat baik sekali, dan awal malamnya bulan penuh timbul dengan aman. Sudah bosan dengan akitiviti harian melepak bersama rakan-rakan di kedai kopi Amir Misai, aku berniat untuk pergi ke kafe siber Amran, anggaran lebih kurang dalam lingkungan 2 batu dari rumah, terpaksa bermotosikal meredah jalan yang agak muram pada lewat malam. Sudah lama tidak pergi ke kafe siber, maka terdetik pula petang itu aku ingin mencoret didalam blog friendster, dan meninjau-ninjau peti surat yahoo, facebook dan ym. Kalau ketika aku di Gombak, ini sememangnya antara hobi aku berkunjung ke kafe siber lagipun harga perkhidmatan yang agak murah, berbanding di kampung ini yang agak mahal, berbekalkan terhad kepada 6 atau 7 computer yang masih menggunakan Pentium 4, dan Monitor CRT dengan harga RM3 untuk 1 jam. Kadang-kadang ingin sahaja aku melemparkan kata-kata kesat kepada pemilik kafe siber ini. Perangai macam ini lah yang membuat orang-orang kampung dan orang-orang Melayu ketinggalan di belakang. Aku bukan mengeluh kerana harganya yang agak mahal, tetapi tahap perkhidmatannya yang sudah 2,3 tahun, sesekali aku berkunjung ke situ ketika bercuti di kampung, masih tiada apa-apa perubahan. Hendak kata tidak untung, mustahil juga kerana terpampang Myvi baru di rumahnya, dan keadaan kedai yang sentiasa penuh dengan pelanggan dengan bayaran yang mahal.

Tidak sempat ke kafe siber, aku dibasahi kuyup dengan hujan yang aku tidak tersangka. Terpaksa untuk kali ke 1000 aku singgah di kedai kopi Amir Misai, dan kelihatan rakan-rakan ku yang aku rasa sudah 2,3 jam bertapa di kedai itu, tersengeh-sengeh melihat aku kebasahan. Geram juga aku rasa, mentang-mentanglah mereka sudah berkereta, aku hanya bermotosikal. Ahh..panas hati aku dibuatnya, dengan ketidakselesaan pakaian basah kuyup ini, ingin sahaja aku mencabut semua pakaian aku, dan memakai boxer sahaja. Mujurlah tahap tahu malu aku masih tebal, tambahan pula Kak Long dan Adiknya yang agak comel, masih belum balik kerja. Aku banyak mendiamkan diri ketika di situ, sambil merenung tentang tujuan aku untuk ke kafe siber Amran terhalang. Terpaksalah aku menangguh memindahkan blog friendster aku ke blogspot.com, tepaksalah juga aku menahan rasa rindu ini terhadap rakan chat aku, Fressia dan Julia, dan terpaksala aku menahan kebosanan melepak di kedai Amir Misai ini. Esoknya pula aku perlu pulang ke Gombak, untuk mendaftar memasuki semester ke 4, di Unikl, dan untuk masa seminggu dua selepas itu, mungkin tidak sempat aku ke kafe siber, dengan urusan-urusan pendaftaran subjek, dan penyusunan jadual pembelajaran. Paling akhir aku menulis dalam blog aku adalah Finding Her part 1 tidak silap aku. Aku sudah lupa bagaimana aku ingin menyambung untuk bahagian seterusnya, mungkin akan mengambil masa yang agak lama bagi mengembalikan idea-idea tersebut. Hampir 2 bulan di kampung, tanpa membuka langsung blog ini. Apa tidaknya, kalau aku pergi ke kafe siber pun, hanya membuka YM. Jika mahu membuka laman web, 1 jam lepas itu baru terpampang bahagian ‘home’ and ‘login’ nya.

“Jom Balik”. Mee Gemok menyergah aku. Aku segera memandang jam dinding di kedai itu. Kelihatan sudah pukul 4 pagi. Aku terlelap agak lama di atas meja berbantalkan lengan aku dengan baju yang masih basah.
“Kira semua Kak Long”. Sambung Mee gemok, sambil menghulurkan wang kertas RM 10. Aku tersenyum tanda berterima kasih kepada Mee Gemok, juga begitu rakan ku yang lain. Sampai di rumah, selepas mandi aku terus sahaja bersiap untuk tidur. Sebelum tidur, aku asyik ulang-ulang mendengar lagu Srikandi Cintaku yang sudah lama aku tidak dengar. Apa yang aku suka tentang lagu ini ialah liriknya yang puitis ditulis oleh Nasir Jani. Kena pada penulisnya seorang seniman yang pernah dianggap gila pada suatu ketika. Hinggalah aku terlelap sehingga keesok petangnya pada pukul 4 petang. Haha..